Sejarah Badminton Di Malaysia

Pasukan negara kali terakhir merangkul Piala Thomas pada 1992 di Stadium Negara. - Foto: www.badmintonfreak.com


SEPERTI kebanyakan sukan yang terdapat pada hari ini, badminton juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Pada peringkat awal permainan ini, tidak ada sebarang undang-undang atau peraturan yang boleh dijadikan panduan permainan. Mereka yang bermain hanya sekadar memukul bulu tangkis ciptaan mereka itu.

Namun permainan mereka itu telah berjaya menarik minat sebahagian masyarakat.

Atas usaha seorang askar Inggeris iaitu Kolonel H.Q. Selby yang bertugas di Karachi, India pada ketika itu, dia telah menubuhkan pasukan Badmintonnya sendiri yang diberi nama ‘Bath Badminton Club’ dan undang-undang permainan dicipta tetapi masih belum sempurna.

Oleh itu, seperti permainan yang lain yang mempunyai badan atau persatuannya sendiri di peringkat antarabangsa untuk menguruskan atau menyelaraskan permainan, pada tahun 1934 Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) ditubuhkan dan Presiden pertama ialah Sir George Thomas yang menjawat dari tahun 1934-1955.


BAM mula ditubuhkan

Pada tahun yang sama (1934), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga telah ditubuhkan dan sejak itu, sukan badminton berkembang dan badminton telah menjadi acara rasmi dalam sukan Olimpik pada tahun 1992.

Sejak itu juga, BAM telah berjaya melahirkan beberapa jaguh dalam beberapa dekad ini dan pelbagai pengiktirafan dan kejayaan turut dicapai oleh badan induk itu dengan memenangi beberapa kejohanan besar seperti Piala Thomas dan All England.

Tidak keterlaluan jika mengatakan badminton adalah antara sukan yang banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.


Kemunculan keluarga Sidek

Keluarga Sidek dalam arena sukan tanah air bukan sekadar titian menonjolkan imej negara, malah menjadi lombong emas badminton tempatan dan menyumbang kepada perkembangan pasaran antarabangsa bernilai berjuta-juta ringgit.

Kemunculan Misbun dan adik-adiknya (Razif, Jalani, Rahman dan Rashid) mula memberi saingan di Asia pada awal 1980-an, mendorong kepada keberanian Kumpulan Pengurusan Antarabangsa (IMG) menerokai bidang badminton di Malaysia.

Imbasan detik kegemilangan 1992 tetap terpahat di benak fikiran pencinta badminton negara apabila melihat Piala Thomas direbut kembali di bumi sendiri dengan menamatkan kemarau suku abad.

Walaupun piala itu hanya bertahan 24 bulan di bumi ini sebelum menyeberang Selat Melaka, namun kenangan sambutan orang ramai yang sanggup bermandi peluh ketika berpusu-pusu menyentuh piala kebanggaan itu yang diarak ke seluruh pelosok negara, masih jelas terbayang.

Selain keluarga Sidek, pemain badminton negara yang terkenal suatu ketika dahulu ialah Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan Aik Mong, Tan Aik Hwang dan Silvia Ng.

Malah kini, BAM juga berbangga selepas memiliki Datuk Lee Chong Wei yang meraih beberapa kejayaan sekali gus menjadi kebanggaan Malaysia.


Malaysia sebaris pasukan elit

Dari segi badminton, mungkin ia telah mencapai tahap terbaik ketika ini, dan pulangannya ialah kemegahan negara di persada dunia.

Dan sekarang ini, pasukan negara masih dianggap sebagai pasukan disegani sebaris dengan pasukan ternama dunia iaitu Indonesia, China, Korea Selatan dan Denmark.

Walaupun BAM masih belum mampu mencari pengganti Chong Wei, namun usaha badan induk itu untuk menaikkan nama negara di persada dunia perlu diberikan pujian.



Newer post

Your Cart

Your cart is currently empty.

Continue browsing here.